Cerita Pak Belalang merupakan dasar film yang disutradarai
P. Ramlee,
Nujum Pak Belalang (1959).
Alkisah, maka adalah suatu cerita, kononnya sebuah negeri nama Halban
Cundung. Nama rajanya Indera Maya, cukup dengan hulubalang menterinya.
Maka adalah dipeminggiran negeri raja itu seorang peladang tiga beranak,
anaknya laki-laki dinamakannya Belalang, menjadi orang-orang semuanya
memanggil orang tua peladang itu Pak Belalang. Maka pada suatu tahun
semua orang tiada dapat padi berladang, oleh sangat kemarau. Maka yang
hal sepeladang tiga beranak itu sangatlah kesusahan hendak mencari
makanan, tiadalah dapat daya dan upaya lagi, melainkan dengan makanan
kutip katap sahaja, ya ni kadang-kadang makan ubi, tebu, pisang, keladi
dan sebagainya.
Hatta, antara beberapa lamanya di dalam hal yang demikian itu,
sampailah pula musim piama. Maka orang bekerja bendang pun masing-masing
turun kebendangnya membuat pekerjaan, ada yang mencuci parit, membaiki
batas-batas mana-mana yang patut dan rusuk, dan ada yang menengala
dengan kerbau, ya ni tanah di dalam petak bendang itu supaya menjadi
lembut semuanya, boleh senang menanam padi, lagi pula menyuburkan pokok
padi sampai kepada buahnya. Maka ada pula yang memagar dan berbuat
berbagai-bagai ikhtiar supaya terpelihara daripada mara bahaya musuhnya
seperti tikus, ulat dan babi. Maka di dalam hal yang demikian itu semua
orang membuat pekerjaan, melainkan Pak Belalang tiga beranak asyik
dengan tidur siang malam dirumahnya dengan berdukacita yang teramat
sangat akan kehidupannya yang akan boleh makan.
Maka pada suatu hari Pak Belalang berkata kepada anaknya nama Si
Belalang itu, wahai anakku, apalah sudah untung kita demikian ini.
Tiadalah dapat apa-apa yang dijadikan makanan kita anak beranak. Maka
jawab anaknya, apakah fikiran aki? Maka kata Pak Belalang, pada
fikiranku pergilah anakku sembunyikan kerbau orang yang menenggala
dibendang itu barang dua ekor, taruh di dalam semak-semak itu. Jikalau
orang itu gempar kehilangan kerbaunya, katakana aku tahu bertenung
menentukan dimana-mana tempat kerbau itu.
Sebermula, telah sudah bermesyuarat kedua beranaknya, pada waktu
matahari rembang orang-orang bendang itu kelelahanlah penat.
Masing-masing pun berhentilah naik kedangaunya makan minum dan setengah
tidur. Maka kerbau-kerbau mereka itu ditambatkan ditepi batas yang
disebelah naung, makan rumput dan setengah dilepaskan dengan
tali-talinya berkubang.
Arakian, Si Belalang pun, lepas bermesyuarat dengan bapanya itu,
lalulah ketempat kerbau yang teramat itu dengan seorang dirinya
terhendap-hendap mengintau tuan kerbau itu. Telah sampai lalu
dipegangnya tali kerbau, diambilnya dua ekor, ditambatkannya kepada
pohon kayu besar kira-kira sebatu jauhnya daripada tempat itu. Maka ia
pun pulang kepada bapanya, habis dikabarkannya hal ehwalnya. Maka
sangatlah sukacita bapanya mendengarkan perkataan anaknya oleh mengikut
seperti pengajarannya.
Hatta, tersebut perkataan orang-orang bendang itu. Apabila telah
beralih hari, masing-masing pun turunlah kebendangnya sambil hendak
mengambil kerbau. Maka dilihat dua ekor kerbaunya sudah hilang. Jenuh
mencari tiada jump, sambil berkata, siapakah gerangan agaknya tahu
bertenung ini? Kita hendak tenungkan kerbau yang hilang ini. Maka pada
ketika itu Si Belalang sedang bermain dekat-dekat meraka itu. Maka
katanya, bapaku tahu juga sedikit-sedikit bertenung.
Jawabnya tahu juga. Maka kata orang bendang itu, marilah kita
sekalian pergi kepada Pak Belalang minta ditenungkan. Jawab kawannya,
moh la. Lalu pergilah orang-orang bendang itu kepada Pak Belalang. Maka
pada ketika itu Pak Belalang pun ada dirumah sedang memegang gobek. Lalu
ditegurnya akan mereka itu seraya katanya, apakah hajat anakku sekalian
ini? Jawab orang-orang itu, kita ini mendapatkan Pak Belalang minta
tenungkan kerbau kita hilang, jenuh mencarinya.
Maka kata Pak Belalang pun mengambil kertas yang buruk, ditulisnya
bagai bekas cakar ayam sahaja, dengan tawakal diperbuatnya serta
membilang-bilang jarinya dan memejam-mejamkan matanya. Katanya, ayuhi
anakku, kerbau itu dua yang hilang ada disebelah matahari mati,
ditambatkan orang dipohon kayu besar. Pada petuanya jikalau lambat
dituruti nescayalah ia mati.
Demi orang-orang itu mendengarkan perkataan Pak Belalang, sangatlah
sukacita hatinya. Lalulah pergi setenganya mencari dan yang setengah
balik pulang. Kemudian antara beberapa lamanya mereka itu pun sampailah
ketempat yang ditambatkan oleh Si Belalang itu. Maka kerbau dua ekor itu
hampir akan mati karena kehausan, lalu diambilnya, dibawa pulang
kerumahnya akan Pak Belalang tahu tenung. Maka singgahlah mereka itu
dirumah Pak Belalang, serta membawa beberapa banyak hadiah daripada
beras, padi, tembakau, gambir, ikan dan lain-lainnya adalah berharga
kadar lima puluh derham. Maka sangatlah kesukaan hati Pak Belalang
menerima hadiah mereka itu, dengan beberapa kesenangan ia makan
anak-beranak.
Kelakian, tersebutlah Raja Indera Maya di dalam negeri itu. Pada
suatu malam kecurianlah baginda tujuh biji peti yang berisi emas, intan,
derham dan lain-lain mata benda yang mahal-mahal harganya. Maka
dititahkan oleh baginda memukul canang segenap pekan di dalam negeri
itu, titahnya, siapa-siapa tahu bertenung raja memanggil kedalam, hendak
minta tenungkan harta yang hilang kecurian tujuh buji peti semalam.
Maka didengar oleh bendang yang hilang kerbau itu. Katanya, yang kita
tahu, orang yang pandai bertenung, boleh dapat dengan segeranya.
Maka kata tukang canang itu, dimanakah rumahnya? Jawab orang bendang
itu, itulah rumahnya. Maka pergilah tukang canang itu. Didapati Pak
Belalang ada hadir dirumahnya. Lalu mereka bertanya, ayuhai Pak
Belalang, iakah sungguhh tahu bertenung? Maka jawabnya, tahu juga
sedikit. Maka kata tukang canang, marilah mengadap baginda, karena
baginda kecurian tujuh biji peti semalam.
Maka jawab Pak Belalang, baiklah. Maka ia pun pergilah mengadap
baginda bersama-sama dengan tukang canang. Apabila sampai kedalam lalu
ditegur oleh baginda seraya bertitah, hai Pak Belalang, tahukah engkau
bertenung? Maka sembah Pak Belalang, ampun Tuanku beribu-ribu ampun,
tahu juga sedikit kerana patik ditinggalkan hamba tua dahulu empat peti
kitab tiba dirumah patik dari hal kisah pencuri barang-barang yang
hilang.
Maka titah baginda, jikalau baginda beta beri tempoh di dalam tujuh
hari ini, beta minta tenungkan harta beta yang hilang itu. Jika tiada
dapat engkau tenungkan harta itu, nescaya beta bunuh kerana membuat
bohong mengatakan ada empat biji peti tib ilmu nujum. Maka sembah Pak
Belalang, Daulat Tuanku titah patik junjung. Insyaallah ta`ala, berkat
dengan tinggi daulat, bolehlah patik tenungkan, Tuanku.
Maka Pak Belalang pun bermohon balik, dikurniakan oleh baginda
seratus derham akan belanjanya. Hatta, apabila sampai kepekan, maka
dibelinya beras, ikan, minyak dan tepung, dibawa balik kerumahnya,
diberikan kepada isterinya. Maka tanya isterinya, dimana Pak Belalang
dapat barang banyak-banyak ini? Curikah? Jawabnya, tiada aku curi, raja
memberi kepada aku, disuruhnya bertenung hartanya hilanh tujuh biji peti
semalam konon. Maka tepung ini perbuatlah roti. Aku teragak hendak
makan roti rasanya.
Maka diambil oleh perempuannya barang-barang itu diperbuat roti.
Seketika nanti hari pun malam. Lepas makan nasi tiga beranak itu, Pak
Belalang pun berbaring di tengah rumahnya oleh sebab letih berjalan
tadi. Maka isterinya pun masaklah roti itu didapurnya, direndangnya
sebiji-biji, maka berbunyilah roti itu kena minyak di dalam kuali, chur
bunyinya. Maka oleh Pak Belalang dibilangnya dari tengah rumah itu,
katanya, satu membilang roti itu.
Maka dengan takdir Allah, berkat ia bertawakal membuat pembohong itu,
tatkala ia membilang roti itu maka kepala pencuri yang mengambil harta
baginda itu ada orang terdiri dihalam Pak Belalang, barulah ia keluar
dari hutan, kerana jalannya pergi datang itu dekat dengan rumah Pak
Belalang. Kemudian chur bunyinya sekeping roti lagi, dibilangnya, dua.
Maka pencuri itu pun sudah dua berdiri dihalamannya. Kemudian tiga, maka
pencuri itu pun sudah tiga orang disitu. Kemudian tujuh keping roti
dibilang oleh Pak Belalang, bersetuju dengan pencuri itu telah ada
disitu ketujuh-tujuhnya.
Maka kata kepala pencuri itu, Hai kawan-kawan sekalian, ada pun kita
ni sudah diketahui oleh orang tua Pak Belalang akan kita ada disini.
Pada fikiranku, tentulah ia tahu kita tujuh orang ini yang mengambil
harta raja itu dan sekarang baiklah kita pergi berjumpa dengan dia
berkabarkan kesalahan kita yang mengambil harta raja itu. Jawab yang
berenam itu lagi, baiklah mari kita pergi kabarkan supaya lepas nyawa
kita mati dibunuh raja itu. Maka pencuri ketujuh itu pun pergilah
mengetuk pintu Pak Belalang. Maka kata Pak Belalang siapa itu?
Jawabnya, kita hendak berjumpa dengan Pak Belalang. Maka dibuka oleh
Pak Belalang pintunya lalu naiklah pencuri ketujuh-tujuh orang itu
seraya duduk berjabat tangan dengan Pak Belalang. Maka kata Pak
Belalang, dari mana datang dan apakah hajat? Maka jawab pencuri, kami
datang ini minta nyawa kepada Pak Belalang. Jangan kamu sekalian
dibunuh, kerana kamilah semua yang mengambil peti raja negeri ini, yang
hilang tujuh biji itu. Oleh sebab jikalau tiada kita berkabarkan benar
pun, Pak Belalang sudah tahu, kerana Pak Belalang di rumah, kami di
tanah lagi belum nampak sudah Pak Belalang bilang.
Sebermula telah didengar oleh Pak Belalang akan perkataan pencuri
ketujuh itu sangatlah sukacitanya sambil berdaham. Katanya, dengan
sesungguhnya aku tahu. Masa anakku di tanah tadi aku bilang di rumah ini
satu hingga ketujuh. Benar atau tidak bilangan aku itu? Maka jawab
pencuri itu dengan ketakutan, benar. Itulah sebabnya kami sekalian takut
akan Pak Belalang berkabar kepada raja, matilah kami sekalian di bunuh
oleh raja itu.
Maka kata Pak Belalang, jikalau sungguh anakku sekalian berkata
benar, tidaklah dibunuh oleh raja. Dimanakah harta raja itu sekarang?
Jawab pencuri itu, adalah kami sekalian tanamkan disebelah selatan di
dalam hutan, lebih kurang ada sebatu dari sini. Kami sekalian tanamkan
di dalam tanah tiada apa-apa rusak, bolehlah Pak Belalang ambil harta
raja itu balik. Maka kata Pak Belalang, baiklah, tetapi jangan membuat
bohong. Tentu aku suruh bunuh kepada raja.
Maka bersumpahlah pencuri itu mengatakan tidak bohong sekali-kali.
Kemudian roti yang dimasak oleh isteri Pak Belalang itu pun
dijamukannyalah kepada pencuri-pencuri itu. Lepas makan mereka itu pun
turunlah berjalan. Hatta, telah siang hari, Pak Belalang pun pergilah
mengadap Raja Indera Maya seraya baginda bertitah, apa kabar, Pak
belalang? Adakah dapat ditenungkan di dalam tib darihal itu?
Maka sembah Pak Belalang, insyaallah ta`ala, dengan berkat tinggi
daulat dapatlah dalam tib-tib patik itu, Tuanku. Patik peroleh satu
buku, di dalamnya ada tersebut bahawasanya ada pun hartanya yang hilang
tujuh orang, dibawahnya kesebelah selatan, sudah ditanamkannya di dalam
tanah, tetapi tiada rosak barang-barang itu lagi.
Setelah menitahkan dua orang menteri dengan seratus hulubalang dan
lima ratus rakyat mencari peti baginda itu dengan segeranya, maka
masing-masing menyembah lalu berjala. Maka baginda pun tinggallah dengan
Pak Belalang di balairong seri dihadapi oleh bentara biduanda sida-sida
sekalian.
Maka tersebutlah kisah menteri dengan hulubalang, rakyat pergi
mencari harta itu. Selang beberapa lamanya sampailah kedalam hutan
besar, ditujunya kesebelah selatan. Dengan takdir Allah subhanahu
wata`ala betullah sampai mereka kepada tempat peti yang ditanamkan oleh
pencuri itu, berjumpa dengan suatu lubang bekas ditimbus orang. Maka
diambil oleh menteri anak-anak kayu suruh tikam kedalam tanah, lalu
kenalah kepada peti itu, serta diangkat naik, dipikul oleh rakyat
sekalian, dibawa balik mengadap baginda.
Maka baginda pun turunlah dari atas singgahsana sambil berkata,
betullah sungguh Pak Belalang ini, besar untungnya dan kebaktiannya
kepada aku. Baginda bertitah itu dengan teramat sukacitanya, seraya
memandang kepada muka Pak Belalang. Titahnya pula, ada pun Pak Belalang
ini telah beta gelar Ahlunnujum pada hari ini, dan barangsiapa memanggil
Pak Belalang, beta guntingkan lidahnya.
Maka sekalian rakyat, menteri hulubalang pun mengatakan Ahlunnujum
sekaliannya. Maka titah baginda, Hai ahlunnujum, beta anugerahi sebiji
peti ini akan dikau, bawalah pulang kerumah, berikan kepada anak isteri
engkau. Maka sembah Ahlunnujum Belalang, ampun Tuanku beribu-ribu ampun,
patik mohonkan ampunlah dikurniakan harta itu, kerana ayapan yang
kurniai oleh dulu Tuanku dahulu itu pun cukup patik ayapi anak beranak.
Maka titah baginda menyuruh juga hantarkan sebiji peti yang berisi
emas, intan, ratna mutu manikam, kerumah ahlunnujum Belalang itu. Maka
ahlunnujum pun bermohon kembali pulang kerumahnya dengan sukacita
sekalian anak isterinya. Hatta, antara selang tiga bulan, masuklah pula
tiga buah kapal membawa anak itik baru jadi, meminta kenalkan jantan
betinanya. Maka kapal itu pun sampailah kepelabuhan. Juragannya naik
kedarat mengadap Raja Indera Maya. Maka ada pun tatkala itu baginda
sedang dihadapi oleh menteri, hulubalang, sida-sida, biduanda
sekaliannya.
Maka juragan itu pun naiklah kebalai pengahadapan masuk mengadap
dibawa oleh bahtera baginda. Serta baginda memandang, juragan pun
bertelut kepada baginda. Sembahnya, ampun Tuanku beribu-ribu ampun,
patik ini datang dari sebuah negeri kesebuah negeri membawa anak itik
baru menetas, meminta kenalkan jantan dan betinanya patik persembahkan
kebawah duli Tuanku kapal patik tiga buah itu dengan isinya, patik turun
kain sehelai sepinggang sahaja. Tetapi jika Tuanku terkenal anak itik
itu jantan betinanya, harapkan diampun beribu-ribu ampun, negeri Tuanku
ini patik pohonkan supaya menjadi milik patik.
Maka sahut baginda, baiklah encik Juragan, beta minta tempoh tiga
hari dahulu. Kepada hari yang ketiga itu pagi-pagi bolehlah datang
bawakan anak-anak itik itu, boleh beta kenalkan jantan betinanya. Maka
juragan itu pun bermohon balik kekapalnya. Maka baginda pun menitaahkan
seorang biduanda panggil ahlunnujum belalang. Maka biduanda pergi kepada
Ahlun nujum Belalang. Tatkala itu Ahlun nujum Belalang ada dirumahnya
sedang merojak sireh hendak dimakannya. Maka biduanda pun naik. Katanya,
Hai Ahlun nujum , titah memanggil bersama-sama sahaya mengadap dengan
segeranya.
Jawab biduanda ada kapal masuk membawa anak itik baru menetas, minta
kenalkan jantan betinanya. Itulah sebab Tuanku memanggil. Maka sahut
Ahlun nujum Belalang, Baiklah, lalu ia mengambil tongkat berjalan
bersama-sama dengan biduanda mengadap baginda kebalairong seri. Demi
terpandang kepada Ahlun nujum, maka baginda pun bertitah, marilah kesini
dekat dengan beta ini, hendak bermesyuarat.
Maka Pak Belalang pun datanglah hampir dengan baginda seraya
meyembah. Maka titah baginda, apalah hal beta ini ahlun nujum? Ada pula
masuk tiga buah kapal membawa anak itik baru menetas dari telur.
Juragannya meminta kenalkan jantan betinanya, kepada beta. Jika tidak
kenal, negeri ini pulanglah kepadanya. Maka sekarang apakah halnya beta
hendak mengenalnya itu?
Setelah Ahlun nujum Belalang mendengarkan titah baginda, ia pun
termenung seketika serta menyerahkan dirinya kepada Tuhan sarwa sekalian
alam harapkan makbul sebarang maksudnya membuat perkataannya yang
pembohong itu semuanya, Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, titah Tuanku
terjunjunglah di atas otak batu kepala patik. Maka dengan berkat tinggi
daulat Tuanku adalah pula buku tib itu tinggal di rumah patik, dua tiga
empat peti penuh berisi dengan pasal anak itik itu sahaja. Dan harapkan
ampun patik bertempuh tiga hari mencari dalam tib itu. Maka titah
baginda, baiklah.
Maka Pak Belalang pun bermohon balik pulang kerumahnya dengan
dukacita yang teramat sangat kerana takut kalau kedapatan budi
pembohongnya itu. Maka keluh kesahlah ia tiada lalu makan dan minum dan
tidur, melainkan di dalam hatinya berkata, ya Allah, ya Rabbi, ya Saidi,
ya Maulai. Kepada Tuhanku juga hamba menyerahkan diri, barang
dimakbulkan kiranya seperti maksud dan hajat hamba ini akan mengetahui
jantan betina anak itik itu dengan mudahnya.
Hatta, perjanjian dengan baginda itu pun sampailah dua hari sudah.
Maka sangatlah dukacita Pak Belalang akan perkara yang disanggupinya
itu. Setelah sampai kepada malam ketiganya, maka dengan takdir Allah
subhanahuwata`ala dibukakan hatinya fikiran yang baik. Baiklah aku pergi
bersampan berkayuh dekat-dekat kapal mendengar perkabaran itik itu.
Maka ia pun berkayuhlah dengan perahunya yang pipih supaya tidak
kedengaran bunyi air. Setelah Pak Belalang sampai kepada kapal yang tiga
buah berlabuh itu seraya perlahan-lahan mendengarkan apa-apa percakapan
orang dikapal itu. Maka dengan takdir Allah subhanahu wata`ala
melakukan kudrat di atas hambanya, pada ketika itu bercakaplah isteri
juragan kapal itu dengan suaminya. Katanya ayuhi Encik Juragan, berapa
lama sudah saya bersama-sama belayar menjajakan anak itik ini minta
kenalkan jantan betinanya belum juga saya tahu bagaimana hendak
mengenalnya itu. Jikalau sungguh kasih kepada saya tolonglah kabarkan
supaya saya tahu.
Maka jawab juragan itu, ayuhai adinda, buah hati kekanda, tiadalah
dapat kekanda hendak mengabarkan hal itu, takut didengar oleh orang,
kerana esok hari hendak kekanda bawa mengadap raja negeri ini minta
kenalkan jantan betinanya. Jikalau tiada lalu raja itu mengenalnya
negeri ini kita miliki, dan jikalau lalu pula raja itu mengenalnya,
kapal yang tiga buah ini pulang kepadanya. Kita sekalian turun kain
sehelai sepinggang sahaja. Tetapi oleh kasih kekanda, kabarkan.
Janganlah dicakapkan kepada orang.
Maka jawab isterinya, katakanlah supaya adinda dengar. Di mana pula
ada orang tengah malam datang hampir kemari? Lalu dikabarkan oleh
juragan kepada isterinya, katanya, jikalau hendak mengenal jantan betina
anak itik itu, hendaklah dibubuh air di dalam terenang. Mana-mana yang
dahulu menyelam itulah betina dan yang kemudiannya jantan.
Setelah didengar oleh isterinya, ia pun diam. Lalu tidur kedua laki
isteri menantikan siang. Shahadan maka Pak Belalang pun sekalian hal
ehwal itu semuanya didengar. Sangatlah suka hatinya serasa mati hidup
kembali, sambil berkayuh perlahan-lahan balik pulang kerumahnya. Setelah
sampai lalu memanggil perempuannya emak Belalang. Maka emak Belalang
pun bangun memebuka pintu. Maka kata Pak Belalang, ada \kah nasi emak
Belalang? Aku lapar ini. Pergilah masak segera, apa digaduhkan masak
nasi ransom? Belanja kita raja memberi.
Maka jawab isterinya, sudah ada nasi. Makanlah. Maka Pak Belalang pun
bersalin kainnya lalu duduk serta memakan nasi. Setelah itu, ia pun
tidur dengan kesukaannya. Seketika lagi hari pun sianglah lalu ia bangun
duduk sambil merojak sirehnya. Sebermula, maka tersebutlah perkataan
juragan kapal. Telah hari siang pagi-pagi hari, maka juragan pun
bersiaplah lalu naik kedarat diiringkan oleh anak-anak perahunya membawa
anak itik itu. Maka baginda pun hadir di atas singgasana tahta kerajaan
dihadapi oleh sekalian menteri, hulubalang, sida-sida bentara, rakyat
bala, hina dina hendak melihat temasya itu.
Hatta, baginda pun menitahkan seorang biduanda memanggil ahlun nujum
Belalang dengan segeranya. Maka biduanda pun menyembah lalu turun
berjalan kerumah Ahlun nujum Belalang. Maka katanya titah Tuanku
memanggil Ahlun nujum. Juragan dan sekalian orang telah berhimpun
dibalai semuanya. Maka Ahlun nujum pun bersiap-siapkan sirehnya lalu
mengadap baginda. Maka sampailah kebalairung seri. Maka titah baginda,
marilah kemari.
Maka Ahlun nujum Belalang pun dekatlah dengan baginda. Maka titah
baginda, Apakah hal ahlun nujum hendak mengenal anak itik itu jantan
betinanya? Maka sembah Pak Belalang. Ampun Tuanku beribu-ribu ampun,
jenuh patikmencari di dalam tin patik. Maka dapatlah patik di dalam buku
kecil sahaja, ada di dalam dua baris tertulis di tulis disitu
mengatakan demikian, bahawasanya ada pun hendak mengenal anak itik itu
jantan betinanya, hendaklah dengan air.
Maka titah baginda menyuruh ambilkan suatu terenang emas. Maka di
bawa oleh dayang-dayang di persembahkan kepada baginda. Maka titahnya,
inilah air, ahlun nujum. Maka sembah Pak Belalang, kemudian lepaskan
seekor. Mana-mana yang dahulu menyelam, itulah yang betina dan yang
kemudian menyelam itulah jantannya. Maka titah baginda, lepaskanlah.
Sembah Pak Belalang, silakanlah Tuanku melepaskannya. Titah baginda,
beta tiada tahu.
Maka Pak Belalang pun bangun seraya menyembah melepaskan itik itu.
Maka apabila dilepaskannya seekor dalam terenan, maka anak itik pun
menyelam. Maka sembah Pak Belalang, itulah betina, tuanku. Kemudian
dilepaskan pula seekor lagi, lambat menyelam. Titah baginda, lambat pula
menyelan itu. Sembah Pak Belalang, yang lambat menyelam itu jantan,
Tuanku.
Maka baginda pun memandang kepada juragan kapal itu. Titahnya, apakah
kabar Juragan? Betulkah seperti kata ahlun nujum ini, dimana hendak
patik simpangkan perkataan yang sebenar itu? Maka titah baginda, jikalau
begitu, baiklah perdana menteri beri juragan ini tiga buah perahu dan
bekalnya sampai ia balik kenegerinya. Maka perdana menteri pun menyembah
dan juragan kapal pun turun bersama-sama dengan menterinya seraya
menyembah baginda. Kapal itu pun diserahkan kepada bendahara dengan
isi-isinya.
Sebermula, tersebutlah kisah baginda itu pula memberi titah kepada
Pak Belalang. Titahnya ayuhai saudara beta, ahlun nujum yang bijaksana,
dengan kerelaan hati beta memberi sebuah kapal itu kepada saudara dengan
isi-isinya. Maka sembah Pak Belalang, ampun tuanku beribu-ribu ampun,
sembah patik harapkan diampun, sebenar sangat seperti titah itu, dengan
sebolah-bolehnya patik mohon ampunlah dikurniai itu, kerana mana-mana
harta yang duli Tuanku kurniakan dahulu sekarang telah sudah dihabiskan
oleh didik itu bersuka ria, ampun tuanku bermain muda sahaja kerjanya.
Baginda pun tertawa gelak-gelak, titahnya, tiada mengapa, budak-budak
sahajanya gemar main muda itu, tiada pula menjadi kesalahan. Tetapi
kawinkan dia mana-mana yang diperkenankan dan kapal ini pemberian
betalah kepadanya Si Belalang itu. Maka sembah Pak Belalang, daulat
Tuanku. Maka kapal itu pun disuruh hantarkan kepelabuhan Pak Belalang,
adanya.
Sebermula, telah selesai kisah anak itik itu, dengan takdir Allah
subhanahu wa`tala, masuklah pula tujuh buah kapal membawa kayu yang
teramat licin dan bulat, panjangnya kira-kira sehasta, nakhodanya itu
pun naiklah mengadap baginda bermaklumkan halnya serta membawa kayu itu,
dipersembahkan kepada baginda. Katanya, ampun tuanku beribu-ribu ampun,
sembah patik harap diampun jua kiranya. Adalah patik datang ini
mengadap tuanku membawa suatu kayu bulat licin semuanya. Patik minta
kenalkan kayu tentukan ujung dan pangkalnya patik persembahkan ketujuh
buah kapal patik ini, patik turun sehelai sepinggang sahaja.
Demi didengar oleh baginda sembah nahkoda itu, lalu titah baginda,
baiklah beta minta tempoh tujuh hari kepada nakhoda. Setelah sudah, maka
nahkoda kapal itu pun bermohonlah balik kekapalnya. Maka baginda pun
bertitah menyuruh panggil Pak Belalang. Maka biduanda pun menyembah
serta bermohon pergi mendapatkan ahlun nujum Belalang itu. Katanya,
titah tuanku memanggil kebalai. Jawab Pak Belalang, apa pasal memanggil
aku? Lalu ia pun turun dengan segera mengadap baginda bersama-sama
dengan biduanda kebalai.
Hatta, setelah baginda melihat Pak Belalang datang itu, baginda pun
memberi titah kepadanya, ayuhai ahlun nujum, apalah ikhtiar diri
sekarang? Ada seorang nakhoda membawa kapal tujuh buah datang kepada
beta, kerana ia ada membawa kayu bulat licin. Ia meminta kenalkan ujung
pangkal kayu itu. Jikalau lalu terkenal oleh beta ujung dan pangkalnya,
kapal yang tujuh buah itu diberikannya kepada beta. Jika tiada terkenal,
maka negeri ini pulang kepadanya. Beta minta tempoh tujuh hari.
Arakian, telah Pak Belalang mendengar titah baginda, maka lalu ia
mengangkat tangan mendatangkan sembah, ampun tuanku beribu-ribu ampun,
sembah patik harap diampun, ada pun dari hal mengenal kayu, bolehlah
juga patik kenalka, berkat tinggi daulat tuanku, kerana ada tujuh peti
tib patik dirumah pasal mengenal kayu-kayu. Dan dua peti buku-buku pasal
itu sahaja.
Titah baginda, baiklah boleh ahlun nujum lihat di dalam buku-buku
itu. Maka Pak Belalang pun bermohonlah kembalilah kerumahnya. Hatta,
dalam pada itu sampailah perjanjian itu tujuh hari kepada malam. Maka
daripada pagi-pagi hari nakhoda kapal pun bersiaplah dengan anak
perahunya hendak naik kebalairung seri membawa kayu itu. Maka pada
ketika hulubalang, sida-sida, bentara, penuh sesak hendak melihat
temasya itu.
Maka hal Pak Belalang pada malam yang ketujuh itu turunlah ia
kesampan berkayuh kekapal nahkoda itu daripada sebuah kapal kepada
sebuah kapal. Hatta dengan takdir Allah subanahu wata`ala sampailah ia
kekapal nahkoda yang jauh di tengah lautan sekali. Kepada masa itu
nahkoda pun ada duduk sedang bermesyuaratkan darihal hendak membawa kayu
itu esok harinya mengadap baginda. Maka kata sekalian anak-anak
perahunya itu, ayuhai Tuan nahkoda, hamba sekalian pun sangatlah ajaib
bagaimanakah hendak mengenali ujung pangkal kayu itu. Maka sahut nahkoda
kepada anak-anak perahunya itu, janganlah kau sekalian cakapkan kepada
orang rahsia ini, kalau didengar oleh orang rosaklah kita.
Maka kata sekalian anak-anak perahu itu, ya tuan nahkoda, dimana
datang orang tengah malam ini? Maka kata nahkoda sekalian pun sangatlah
ajaib bagaimanakah hendak mengenal ujung pangkal kayu itu, ada pun
hendak mengenal ujung kayu itu dipegang sama tengahnya, diletakkan di
atas air. Kemudian mana-mana dahulu yang tenggelam, disitulah
pangkalnya.
Telah sudah nahkoda berkabarkan rahsia itu kepada anak-anak
perahunya, semuanya didengar oleh Pak Belalang perkataan itu. Ia pun
balik kerumahnya. Hatta, telah hari siang, pagi-pagi hari berhimpunlah
sekaliannya. Maka nahkoda kapal itu pun naiklah mengadap baginda membawa
kayu itu. Maka baginda pun bertitah suruh duduk seraya memandang
kepintu balai penghadapan itu menantikan ahlun nujum Belalang, lalu naik
keatas balai penghadapan seraya menyembah baginda. Maka ditegur oleh
baginda sambil bertitah, marilah dekat dengan beta disini. Apa kabar
dalam tib ahlun nujum itu?
Maka sembah Pak Belalang, ampun Tuanku beribu-ribu ampun, ada pun di
dalam tib patik darihal hendak mengenal ujung pangkal kayu itu hendaklah
dengan air, tuanku. Maka titah baginda menyuruh ambil air kepada
dayang-dayang pun mengambil air, dibubuh di dalam batil emas, dibawa
kehadapan baginda. Maka sembah Pak Belalang, tuanku lepaskan kayu itu.
Maka titah baginda, beta tiada tahu. Ahlun nujum sendiri lepaskan.
Maka Pak Belalang pun menyembah baginda seraya mengambil kayu itu.
Maka ditimbangnya betul sama-sama tengah kayu, dilepaskannya di dalam
air itu. Maka tenggelam sebelah dahulu. Titah baginda. Apa yang dahulu
temggelam itu? Maka sembah ahlun nujum Belalang, ampun Tuanku
beribu-ribu ampun, yang tenggelam itu pangkalnya dan ujungnya itu
kemudian tenggelam kerana ringan dan pangkalnya itu berat.
Maka baginda pun memandang kepada nahkoda kapal itu seraya bertitah,
apa kabar nahkoda adakah betul seperti kata ahlun nujum beta dan tiada?
Maka sembah nahkoda itu, sebenarnyalah seperti kata ahlun nujum Tuanku
itu. Apa hendak patik salahkan lagi? Sudah nasib patik, tuanku kerana
patik dengar ahlun nujum tuanku ini arif bijaksana sangat. Inilah sebab
patik mencuba kepandaiannya itu.
Maka sahut ahlun nujum, dengan sebenarnya juga encik nahkoda
menyembah kebawah duli yanga maha mulia itu. Jikalau ada kepandaian arif
bijaksana sekali pun jika tiada rajin usaha tiada berguna juga. Maka
terasalah dihati nahkoda itu teringatkan tatkala anak-anak perahunya itu
bertanyakan ujung pangkal kayu dahulu agaknya barangkali Pak Belalang
itu mengendapmendengarkan kisah itu, kerana ada cakapnya itu berusaha.
Tetapi itu fikiran di dalam hatinya sahaja, tiada dikeluarkannya. Maka
titah baginda menyuruh biduanda berikan ampun kurnia kepada nahkoda itu
tujuh buah perahu serta belanja makanannya. Maka nahkoda itu pun turun
dari kapal sehelai sepinggang sahaja. Maka kapal tujuh buah serta dengan
isinya itu pulang kepada baginda semuanya. Maka nahkoda itu pun
bermohon kepada baginda naik keperahunya langsung pulang kenegerinya.
Hatta, selang antara berapa lamanya, masuk pula sebuah kapal perdana
menteri Askalan Rum mengadap baginda membawa surat rajanya kepada
baginda. Tatkala itu baginda sedang semayam di atas takhta kerajaan
dibalairung seri. Perdana Menteri itu pun naik lalu menyembah baginda
dan mempersembahkan surat itu. Maka disambut oleh bentera dan dibaca
dihadapan baginda. Demikianlah bunyinya:
Sembah sujud serta ta`zim serta takrim daripada anakanda Raja Baharum
Indera Sakti dinegeri Askalan Rum, barang disampaikan kiranya mengadap
kebawah tahta paduka ayah duli yang maha mulia. Ihwal anakanda maklumkan
jikalau ada mudah-mudahan rahim kasihan belas ayah, anakanda pohonkan
Ahlun nujum ayah, minta lihatkan anakanda kehilangan isteri anakanda
baru kawin tujuh hari, sedang tidur dicuri oleh jin. Maka haraplah
dipohonkan bersama-sama pacal Perdana Menteri itu.
Telah didengar bunyi surat itu, baginda pun menyuruh panggil ahlun
nujum Belalang. Maka biduanda pun pergilah. Ada seketika lamanya, ahlun
nujum Belalang pun sampailah bersama-sama dengan biduanda mengadap
baginda. Maka baginda pun bertitah, hai ahlun nujum, ada pun sebab beta
memanggil ini kerana ada sebuah kapal masuk kemari mengadap membawa
surat darihal putera baginda negeri Askalan Rum hilang isteriny, ia
sedang tidur bersama-sama dicuri oleh seorang jin. Adakah dapat ahlun
nujum mengembalikan balik daripada jin itu?
Maka sembah ahlun nujum Belalang. Ampun tuanku beribu-ribu ampun,
insya Allah ta`ala, berkat dengan tinggi daulat duli yang maha mulia,
dari hal itu barangkali ada di dalam tib-tib patik tangkal jin itu
supaya ia takut. Maka titah baginda, baiklah boleh pergi sekarang
bersama-sama Perdana menteri baginda ini. Maka sembah Ahlun nujum
Belalang. Daulat tuanku, titah patik junjunglah. Patik pohon ampun
pulang keteratak patik dahulu.
Maka titah baginda, usahlah balik dahulu. Belanja-belanja ada beta
beri. Maka sembahnya, baiklah tuanku. Lalu ia menyembahkan kepada
baginda bersama-sama turun kekapal Perdana Menteri itu langsung belayar
kenegeri Askalan Rum. Selang antara beberapa lamanya, sampailah
kejambatan larangan. Maka disambut oleh baginda itu menteri serta dengan
Ahlun nujum Belalang. Maka datanglah putera baginda itu mendapatkan Pak
Belalang dengan tangisnya. Titahnya , ayuhai bapa hamba, tolonglah
hamba minta carikan isteri hamba yang telah dicuri oleh jin itu dengan
segeranya.
Maka sembah Pak Belalang, ampun tuanku beribu-ribu ampun, pertetapkan
juga hati tuanku, Insya Allah ta`ala patik pergi mencari paduka adinda
itu. Maka baginda pun berangkat dari kapal naik keistana membawa Ahlun
nujum Belalang, diperjamu makan dan minum tujuh hari tujuh malam,
disembelih kerbau, lembu, ayam dan itik.
Hatta, lepas itu, Pak Belalang pun berdatang sembah kepada putera
baginda itu. Sembahnya, ampun tuanku beribu-ribu ampun, nanti pada waktu
dinihari tuanku titahkan sekalian isi negeri, rakyat bala tuanku pergi
masuk kehutan sekalian isi negeri, rakyat bala tuanku pergi masuk
kehutan sekaliannya mengikut patik. Tuanku pun bersama-sama berangkat.
Apabila patik berhenti, tuanku sekalian rakyat pun berhenti jauh-jauh
daripada patik, jangan dekat.
Maka putera baginda serta dengan sekalian menteri, hulubalangnya pun
mengakulah seperti sembah ahlun nujum itu. Telah malamlah, waktu
dinihari, perdana menteri pun menyuruhkan sekalian rakyat isi negeri
semua kehutan rimba belantara itu dengan terlalu amat kesusahannya.
Hatta, apabila gari pun sudah cerah Pak Belalang pun berjalanlah
bersama-sama dengan putera baginda itu diiringkan oleh menteri,
hulubalangnya sekalian yang tiada tepermanai banyaknya. Maka antara
beberapa lamanya sampailah Pak Belalang kepada sepohon kayu beringin di
tengah padang , terlalu amat rendang pokoknya. Lalu berhentilah akan
lelahnya teramat sangat, dan matanya pun mengantuk seperti diperekat
rasanya. Ia pun berbaring dibawah kayu beringin itu lalu tertidur.
Hatta, dengan takdir Allah Tuhan sarwa sekalian alam, kepada ketika
itu datanglah seorang tua, janggutnya putih hingga kepusatnya, seraya
berkata dengan suara yang dahsyat. Sabdanya, hai Pak Belalang apakah
pekerjaan engkau demikian ini sentiasa berbuat bohong sahaja, tiada
perkataan yang sebenarnya? Maka Pak Belalang pun terkejut mendengarkan
sabda orang tua itu, seraya menyembah, katanya, hamba tuan sungguhlah
berbohong sahaja, kerana dengan hal mencari napakah hamba.
Maka sabda orang tua itu, dengan sebenarnya engkau berbuat bohong
semata-mata, tetapi bohong engkau itu diperkenankan Allah ta`ala tiada
menganiayai orang sekali-kali, semata-mata membuat kerana Allah
memelihara raja sendiri daripada percubaan Tuhan sarwa sekalian alam
keatas hambanya. Maka sekarang ini apalah pekerjaan engkau? Hendak
kemana?
Maka sembah Pak Belalang di dalam tidurnya, hamba tuan dititahkan
oleh putera baginda ini meminta carikan isterinya dicuri oleh jin konon.
Inilah hamba kerjakan. Maka sabda orang tua itu, bagaimanakah hal
engkau hendak mencarinya itu? Maka sembah Pak Belalang, entahlah tuan
tiada hamba tahu. Apakah nama tuan hamba?
Maka disahut oleh orang tua itu, betalah yang bernama nabi Allah
Khidir, Kutubu`l alam menjaga hutan dan daratan dengan titah Tuhan beta.
Ada pun darihal engkau hendak mengambil tuan puteri itu, inilah isim
Allah ta`ala ya`ni tangkal yang ditakuti oleh jin, beta ajarkan. Bacalah
kepada jin itu supaya ia lari. Kemudian engkau ambilah tuan puteri itu.
Maka diajarkannya suatu isim kepada Pak Belalang. Dapatlah olehnya.
Maka sabda Kutubul`alam, ada pun sekarang jin itu sedang tidur memangku
Tuan Puteri itu di dalam suatu gua batu ditepi gunung. Segeralah pergi
ketempat itu. Hatta, telah sudah berkata-kata Pak Belalang pun jaga
daripada tidurnya. Maka dengan tiada lengah lagi lalu berjalan menuju
kegunung itu. Maka putera baginda dengan menteri, hulubalang, rakyat pun
bersama-samalah mengikuti jauh-jauh dari belakang. Dalam hal yang
demikian sampailah kepada suatu gua batu. Betullah dilihatnya jin itu
sedang memangku Tuan Puteri itu sedang tidur juga kedua-duanya. Maka
balutlah mata Tuan Puetri itu bekas menangis. Tersangatlah belas kasihan
Pak Belalang melihatnya. Maka segeralah ia membacakan isim Allah
ta`alaseperti pengajaran Kutubul alam itu. Dengan berkat isim doa itu,
dihembuskan oleh Ahlun nujum dikepalanya, maka jin itu pun terbanglah
lari, tinggallah Tuan Puteri itu. Maka segeralah diambil oleh Pak
Belalang dengan besar suaranya meminta tolong. Katanya, tolong Yuanku,
segera ini adinda.
Maka apabila didengar oleh putera baginda dengan menteri,
hulubalangnya maka sekalian rakyat pun berhimpum mengiringkan puteri
itu, diletakkan di atas geta yang keemasan, dihadapi oleh dayang-dayang,
bentar, sida-sida sekalian bertunggu menjaga Tuan Puteri itu lagi
pengsan tiada sedarkan dirinya. Maka diambil oleh Pak Belalang air,
dibacanya isim tadi, disiramkan pada seluruh tubuhnya.
Maka Tuan Puteri pun sehatlah sedikit lalu bangun duduk santap nasi.
Maka putera baginda itu pun teramatlah sukacita melihat isterinya sudah
didapati, lalu duduk disitu serta memuji-muji ahlun nujum itu, lalu
menitahkan menteri hulubalang rakyat hina dina sekalian bersiap hendak
kenduri melepaskan nazarnya, menyembelih kerbau, lembu, ayam dan itik
makan minum tujuh hari tujuh malam.memberi sedekah kepada fakir miskin
dengan beberapa pula hadiah kelelahan ahlun nujum Belalang itu,
dikurniakan oleh baginda daripada harta emas, perak, kain baju dan
hamba, dan kapal sebuah, cukup dengan isinya kapal itu.
Maka ahlun nujum Belalang pun mengajar putera baginda itu akan isim
yang diajarkan oleh Kutubul alam itu, di perbuat tangkal Tuan Puteri
itu, supaya jangan dicuri oleh jin itu balik. Maka kepada ketika yang
baik, Pak Belalang pun bermohon hendak balik kenegerinya dihantar oleh
putera baginda itu kedua laki isteri hingga kekapal serta dipasangkan
meriam alamat tanda kebesaran di atas ahlun nujum itu. Setelah sampai
kapal. Putera baginda itu pun berpeluk bercium denga ahlun nujum
Belalang, bertangis-tangisan. Lalu berangkat kembali keistananya. Maka
ahlun nujum Belalang pun belayarlah pulang kenegerinya.